Nasihat Pengamal Reiki

Posted by Reiki Malaysia - Tradisi Hikmah Sufi on Friday, April 3, 2009


Ini adalah nasihat peribadi saya terutama untuk diri saya dan juga kepada semua pengamal reiki tidak kira dari aliran usui, kundalini reiki, imara, karuna dan sebagainya. Kita semua serumpun walau berbeza aliran dan master.

Apabila seseorang telah mempelajari kursus reiki, pasti akan menerima attunement reiki. Maka selepas attunement terus saja boleh menjadi perawat untuk diri sendiri mahupun orang lain dengan cara mengalirkan energi reiki melalui telapak tangan ke tubuh/bahagian tubuh yang sakit.

Tetapi apabila telah menjadi pengamal reiki janganlah mudah merasakan diri seorang manusia yang hebat, sakti dan akan sihat terus menerus selama hayat. Oh, tidak begitu wahai sahabat sekalian....saya dan pengamal-pengamal reiki juga manusia biasa, pasti ditimpa sakit, stres, marah, kecewa bahkan bila tangan tersentuh api akan merasa panas.

Sebab kita semua tetap seorang manusia biasa yang tiada daya upaya mutlak, dan penyembuhan itu sebenarnya bukan kerana pengamal reiki yang menggunakan energi reiki. Yang perlu diingat bahawa pengamal reiki hanyalah seorang medium pengalir energi dari reiki dan kesembuhan mutlak hanya milik Allah. Kerana itulah sebelum dan sesudah mengalirkan reiki hendaklah kita memanjatkan doa dan betul-betul pasrah kepada Pemilik Energi Alam Semesta, iaitu Allah Yang Maha Esa. Reiki hanyalah sebuah nama. Lebih tepat 'Ray' (alam semesta) dan Ki (energi). Reiki adalah energi alam semesta, hanya makhluk yang diciptakan. Reiki tidak berkuasa, hanya Allah jua yang berkuasa.

Memang diakui seseorang yang telah belajar dan mempraktikkan reiki untuk kebaikan manusia yang mengalami masalah kesihatan badan dapat dibantu dengan mengalirkan reiki kepada pesakit. Dengan izin Allah segala masalah tadi dapat diatasi hanya dengan meletakkan kedua telapak tangan ke tubuh pesakit samada jarak dekat atau jarak jauh.

Reiki memang memberikan efek yang luar biasa pada tubuh pengamalnya apabila sering melakukan penyembuhan diri, meditasi dan kerap menggunakan energi reiki dalam kehidupan seharian, tetapi perlu diingat keperluan-keperluan asas untuk tubuh pun perlu dijaga setiap hari dengan penuh disiplin yang tinggi, antaranya:

1. Melakukan diet yang sihat atas nasihat doktor.
2. Makan makanan yang berkhasiat.
3. Makanlah bila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
4. Berehat yang cukup dan teratur.
5. Melakukan senaman sekurang-kurangnya 20 minit 3x seminggu.
6. Tidur yang cukup untuk merehatkan sistem tubuh badan.
7. Banyakan makanan berserat, buah-buahan dan sayuran. Kurangi makanan berkolesterol tinggi.
8. Kepada yang muslim, peliharalah segala syariat yang wajib.
9. Amalkan seberapa banyak amalan hidup yang sihat.

Dengan menjaga perkara-perkara di atas ditambah pula dengan selalu mengalirkan energi reiki setiap hari, insyaAllah seorang pengamal reiki akan sentiasa sihat walafiat, segar dan jauh dari stres.

Hidup sihat dengan Reiki!