Ilmu energi, ilmu tenaga dalam, ilmu minda, ilmu hikmah, ilmu rukyah, ilmu sains, semuanya adalah bersumber dan berasal dari Allah. Halal dan haramnya ditentukan oleh dua sebab. Kerana Allah, dan tidak melanggar hukum syarak. Begitu juga dengan Reiki. Reiki bukanlah agama. Reiki adalah salah satu method penyembuhan menggunakan telapak tangan yang diletakkan di tempat yang mengalami gangguan ketidakseimbangan tenaga pada bahagian-bahagian tubuh tertentu.
Banyak lagi ilmu penyembuhan seperti Akupuntur, Akupressure, Refleksologi, Urutan, Bekam, Hypnotherapy, Emotional Freedom Technique ( EFT ), Quantum Healing, Prana, Prana Shakti, Biosinergi, Energy Psychology, Tenaga Dalam, Sedona Method, Power of Affirmation, Crystal Therapy, Aromatherapy, Terapi Buka Aura, Meditation, Colour Vibration Therapy ( CVT ) dan banyak lagi.
Belum lagi ilmu seperti Mindpower, Law of Attraction, Mind Seduction, Subjective Communication, Hypnosis, Subconscious Mind, Telepathy, OBE, Neuro-Linguistic Programming ( NLP ). Kalau ditambah ilmu-ilmu hikmah yang pelbagai maka tak habis di sini.
Walaupun ada di antara ilmu-ilmu ini dipelajari samada dari sami Buddha, Hindu, Kristian, orang kafir itu tidak timbul isu syirik dan sesat. Kerana yang dipelajari adalah ilmu pengetahuan tentang struktur tubuh, potensi kelebihan minda dan emosi manusia. Bukan belajar agama, dan bukan belajar cara menyembah berhala.
Dan tidak salah jika kita belajar ilmu dari orang kafir, kita selitkan dengan doa-doa, munajat kepada Allah. Bukan 'mengislamkan' ilmu orang kafir. Sebab jika difahami, semua ilmu adalah dari Allah. Secara zahir saja melihat ilmu itu dari seseorang. Jika belajar ilmu bedah dari orang kafir di barat, walau tak diajar doa ketika bedah, apakah seorang Muslim tidak boleh berdoa sebelum bedah pesakit? Ada juga ilmu yang kononnya dipelopori oleh Barat seperti Law of Attraction' (LOA), jika kita kaji dan faham ilmu LOA ini maka kita bertambah yakin dengan ajaran dalam Islam. Ia telah ada dalam Islam, cuma orang Islam yang malas serta buta tuli 'tidak nampak' dan tidak tahu bagaimana nak amalkan Hukum Tarikan (LOA) ini. Orang kafir belajar dan mengkaji, jadi mereka dapat apa yang mereka usahakan. Itupun sebatas tahap kepercayaan mereka. Tapi sebagai orang Islam, belajar, kaji dan sesuaikanlah dengan syariat dan aqidah yang benar.
Masing-masing ilmu adalah sama. Hanya berbeza jalan dan cara. Kalau nak dikatakan salah satunya bidaah. KEBANYAKKAN ILMU YANG ADA SEKARANG ADALAH BIDAAH. Tidak semua pun yg betul-betul mengikut tingkahlaku Nabi 100%.
Amal tanpa ilmu, sesat. Begitu juga dalam rawatan Reiki, kerana tanpa ilmu ia boleh menyebabkan mudharat dengan izin Allah.
Ilmu Rukyah juga boleh bertukar sesat dan syirik kalau si pesakit dan si pengamal yakin bahawa ayat itu yang memberi bekas dan menyembuhkan segala masalah.
Masing-masing ilmu adalah unik, jadi tidak perlulah hendak jumud dan berlagak untuk mengatakan ilmu ini lebih baik dari ilmu itu dan sebaliknya. Yang berkuasa hanya Allah SWT sahaja. Kalau Dia berkehendak, tahi kambing pun boleh jadi ubat, lalu apa hak Anda untuk menidakkan kuasa Allah?
PENYELESAIANNYA? Jalanilah ilmu masing-masing tanpa rasa ragu dan was-was selagi tidak melanggar hukum Allah dan hukum syarak. Usah dirisau dakwaan pengamal-pengamal ilmu lain yang mengatakan ilmu mereka lebih baik dari ilmu anda, yang mengatakan ilmu mereka 'lebih Islam dan ikut sunnah'. Kerana Tuhan anda hanya satu, Allah, Dzat Yang Maha Esa, dan yang berkehendak JADI, Allah jua. Ilmu yang baik, tidak pernah akan berlaku percanggahan di antara satu dengan yang lain. Ilmu yang baik, berkesan di hati dan menurunkan ego keakuan diri. Lebih rasa rendah diri terhadap kebesaran Allah.
Kalau masing-masing yakin Allah yang menyembuhkan penyakit, kenapa pula harus berkelahi sesama sendiri dan takut berlaku perlanggaran? Bukankah semua kerana Allah? Hanya orang-orang dungu dan berotak sempit sahaja yang mengasing-asingkan ilmu mereka dan tidak mahu bekerjasama untuk berbakti sesama manusia.
"Belajar dan kajilah ilmu yang membuatkan rasa dekat dan hampir kepada Allah, walau sekadar belajar ilmu sebatang pokok."
Ada orang serba-serbi hukum tahu, serban berlilit 7 hasta, janggut panjang berinai, tasbih di tangan sentiasa, mulut bertasbih, (maaf bukan semua), tetapi suka memperlekehkan orang lain, merasa ilmunya tinggi, merendah-rendahkan orang kebiasaan, memandang hina para ahli maksiat, merasa diri lebih mulia, lebih bagus. Apakah ini dituntut dalam Islam?
Fikir-fikirkan dan selamat beramal dengan ilmu masing-masing tidak kira apa jenisnya, serta berbaik dan bersatulah kerana Allah.