TAQWA ATAU SERIBU DINAR?

Posted by Reiki Malaysia - Tradisi Hikmah Sufi on Tuesday, September 2, 2008


Salam ramadhan kepada para Muslimin..


"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

Pernah tak kita dengar dan melihat ayat seribu dinar? Iaitu Surah At-Talaq: Ayat 2 & 3 dari alQuran. Ada yang jadikan amalan untuk kekayaan, ada yang jadikan ala-ala azimat di setiap kedai atau premis perniagaan dengan menggantungkannya konon untuk pelaris, murah rezeki dan sebagainya.. hmmm tapi adakah kita pernah fikir siapakah yang menamakannya Ayat Seribu Dinar - ulama mana, dan dari sumber hadis mana? Apakah benar jika hanya menggantung ayat ini dapat murahkan rezeki kita? Semuanya karut dan membawa kepada kesyirikan andai kita menyangka begitu.

Tetapi kalau kita menggantung sekadar mengingati tidaklah mengapa...bila tiap kali kita melihat ayat dan terjemahannya kita hayati dan insafi diri apakah kita benar-benar orang bertaqwa kepada Allah.. menginsafi diri. Tidak boleh meyakini dengan hanya menggantung ayat seribu dinar ini dapat murah rezeki dsb.. boleh menjadi syirik wa na'udzubillah. Inilah ragam orang Melayu Islam kita, gantung ayat alQuran dulu baru murah rezeki, pendinding dan macam-macam lagi... kalau itu lah caranya dah jadi macam tanglung kat rumah.. bayangkan berapa banyak ayat alQuran yang ada. ;-)

Sesiapa yang bersungguh-sungguh menempuh jalan keimanan mudah-mudahan Allah kurniakan rasa taqwa dalam diri kita dan dihilangkan dari cintakan dunia (salah satu dari sifat mazmumah). Ketika itu, apabila ketaqwaan bersarang di hati segala kekayaan dan sumber rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka, dipermudahkan segala urusan.

Di sini saya ingin kongsikan serba sedikit tentang apa itu taqwa. TAQWA ialah sifat paling asas dalam Islam. Ia sering disebut, diulang-ulang dalam majlis keilmuan, malah pada setiap Jumaat, mimbar tidak lupa menasihati umat Islam supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.

Jelas istilah terbabit tidak asing dalam kehidupan orang Islam. Ia selalu disebut, malah boleh dikatakan semua orang Islam pernah mendengar istilah terbabit, tetapi berapa ramai yang mengerti dan memahami maksud daripada perkataan Arab itu?

Perkataan taqwa berasal daripada kata nama 'ittiqa' dengan erti menjadikan dirinya terselamat daripada apa yang ditakuti atau daripada kata nama 'waqayah' dengan erti menjadikan sesuatu itu sebagai perisai penyelamat daripada sesuatu.

Dari sudut istilah (syarak) taqwa ialah usaha menjaga diri daripada sesuatu yang merosakkan atau yang membawa kepada celaan, kemurkaan dan seksaan. Ini termasuk faktor yang membawa kepada perkara terbabit.

Pengertian taqwa boleh disimpulkan; sifat yang tetap pada diri seseorang, yang terbentuk daripada perasaan takut kepada Allah, perasaan pengabdian kepada-Nya, berasa penuh tanggungjawab terhadap-Nya atas segala gerak laku perbuatan yang lahir mahupun batin.

Secara ringkas, taqwa mengandungi tiga unsur pengertian, iaitu:
1) kekuatan (al-quwwah);
2) usaha keselamatan, pengawalan atau pertahanan;
3) rasa takut lalu berusaha untuk mengawal atau menyelamatkan diri daripada sesuatu yang ditakuti seperti yang dibayangkan dalam al-Quran.

Mengikut ilmuan, taqwa memerlukan daya kekuatan jasmani dan rohani, perasaan takut kepada Allah, perkara yang dijadikan Allah untuk menakutkan hamba-Nya iaitu azab dan seksa-Nya, jalan dan cara untuk mengawal diri daripada perkara ditakuti serta natijah daripada yang disebut di atas iaitu nikmat syurga dan reda Allah.

Taqwa adalah sifat hati. Ini sebagaimana dapat difahami melalui al-Quran, maksudnya: “Sesungguhnya orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah s.a.w, merekalah orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertakwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” (al-Hujuraat:3)

Disebabkan ia sifat yang membabitkan hati dan tempatnya di hati, taqwa bukanlah suatu sifat yang boleh dibuat-buat. Ia tidak seperti sifat lahiriah lain yang boleh dilakonkan bagi mengaburi mata masyarakat kononnya dirinya adalah paling ideal.

Teras kepada sifat taqwa ialah iman. Taqwa dan iman saling berkait rapat, kerana kedua-duanya bertempat di dalam hati. Iman yang mantap akan menyuburkan lagi sifat taqwa seseorang.

Iman yang menetap di dalam hati dan meresap di dalam diri sudah pasti akan menghasilkan keadaan rohani yang akan memancarkan suatu tenaga kekuatan terpendam.

Daripada tenaga ini akan menimbulkan perasaan cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan. Keadaan rohani seperti ini yang makin tetap di dalam hati dinamakan taqwa.

Walaupun taqwa adalah sifat hati yang tidak boleh di lakonkan, ia masih boleh diusahakan melalui beberapa cara atau jalan yang digariskan, seperti membaca al-Quran (tilawah), hidayah dan mujahadah, puasa, mengabdikan diri kepada Allah dalam pengertian yang luas.

Jalan hidayah misalnya, Allah ada menegaskan dalam al-Quran, maksudnya: “Dan orang yang menerima petunjuk, Allah menambahi mereka dengan petunjuk, serta memberi kepada mereka dorongan untuk mereka bertakwa.” (Muhammad:17)

Hidayah akan diperolehi melalui iman. Tanpa iman, bagaimana mungkin seseorang akan mendapat hidayah, dibukakan pintu hatinya.

“Tidak ada kesusahan yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (at-Taghabuun: 11)

Sama juga dengan puasa, ia jalan untuk mencapai taqwa. Dengan sebab itu, ibadat puasa mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Islam, sama ada puasa wajib sebulan pada Ramadan setiap tahun atau puasa sunat pada hari tertentu sepanjang tahun.

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah:183)

Sifat taqwa sebenarnya paksi kepada segala kebaikan, mempunyai tenaga positif yang amat dahsyat hingga salah satunya mampu menarik segala punca rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Dan pelbagai ciri yang dijelaskan melalui ayat al-Quran dan dihuraikan hadis nabi.

Ingatlah saudara-saudara sekelian.. "Iman hendaklah dipakaikan dengan pakaian Taqwa dan dihiasi dengan Akhlak yang mulia"

Wallahu'alam. Selamat Menjalani Ibadah Puasa. :)