SELAMAT DATANG RAMADHAN

Posted by Reiki Malaysia - Tradisi Hikmah Sufi on Friday, August 21, 2009



Firman Allah:


“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Ramadhan bulan yang penuh berkat mula mendekati kita. Beberapa hari lagi semua umat islam di Malaysia akan menyambut kedatangan Bulan Ramadhan yang mulia. Kedatangannya memberi bahagia dan kegembiraan kepada seluruh umat Islam. Walaupun tidak dinafikan ada juga insan-insan yang mengeluh dengan kedatangan bulan ini.

Keluhan dan kegembiraan itu tergambar melalui kesanggupan atau tidak untuk berpuasa pada bulan tersebut. Berpuasa satu bulan berturut-turut bukanlah perkara mudah, hanya mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah dapat melaksanakannya dengan sempurna.

Disebabkan itu Allah menjanjikan Syurga kepada mereka yang berpuasa dengan sempurna pada bulan tersebut. Perkara ini dinyatakan melalui kalam Rasulullah dalam sebuah hadith oleh Imam Bukhari, "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan ramadhan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga"

Memang benar, ada juga daripada kita yang dapat berpuasa sebulan penuh, tetapi puasanya itu hanyalah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga. Tidak lebih daripada itu, sehingga perkara ini pernah di sebut oleh Rasulullah dalam sebuah hadith yang bermaksud, “Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada apa dari puasanya melainkan menahan dari makan dan minum". Namun persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk mengharungi ujian dan cubaan pada bulan Ramadhan? Tepuk dada tanya iman...


Antara keistimewaan pada bulan Ramadhan adalah:

1. Pada bulan Ramadhan diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi umat manusia dan berisi keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pembeza antara yang haq dan yang bathil.

2. Pada bulan ini disunatkan solat tarawih, yakni solat malam pada bulan Ramadhan, untuk mengikuti jejak Rasulullah, para sahabat dan Khulafa’ Rasyidin. Ini berdasarkan Sabda Nabi s.a.w, "Barangsiapa mendirikan solat malam Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala (dari Allah) niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."

3. Pada bulan ini terdapat Lailatul Qadar (malam mulia), iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, atau sama dengan 83 tahun 4 bulan. Malam di mana pintu-pintu langit dibukakan, do'a dikabulkan, dan segala takdir yang terjadi pada tahun itu ditentukan. Berdasarkan Sabda Nabi s.a.w, “Barangsiapa mendirikan shalat pada Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala, dari Allah niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."

4. Pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup dan para syaitan diikat. Sepertimana hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, " Apabila tiba Ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan".

Akhir kata, renungilah kata-kata Syeikh Abdul Aziz Bin Baaz (mantan Mufti Arab Saudi), “Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan mahupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.”

Wallahu'alam..