KEKUATAN DOA / NIAT

Posted by Reiki Malaysia - Tradisi Hikmah Sufi on Wednesday, August 6, 2008


Apabila anda mengucapkan zikir atau selawat, gelombang bunyi akan bergerak melalui medium atmosfera iaitu medium yang terikat akan hukum jarak. Tetapi apa yang kita juga sedia maklum adalah minda manusia menghasilkan gelombang minda dan ianya adalah semudah cetusan niat, idea atau pemikiran yang manusia itu lakukan seperti niat untuk menyebut zikir atau selawat lalu mengarahkan lidah untuk mezahirkannya. Maka, berdasarkan pemahaman di atas, tatkala minda mencetuskan gelombang zikir atau selawat ini, ia sebenarnya juga telah bergetar dan merentasi masa, waktu dan tempat untuk berada di setiap penjuru alam.

Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata Allah: apabila kamu berniatkan kebaikan, telah tertulis untukmu kebaikan dan kamu akan menerima balasan. Dari pemahaman ini, jelaslah bahawa setiap niat yang baik itu, gelombangnya akan terpancar ke alam di mana ia bebas dari ikatan masa; lalu bersedia dan menantikan kita untuk mendapat balasan akannya nanti.

Segala yang ada pada alam menghasilkan medan electromagnet dalam tindakannya. Ini telah dibuktikan betul terdapat pada tumbuhan, batu-batu, air malah sel-sel. Segala benda hidup ini asasnya menggunakan medan elektromagnet ini untuk berkomunikasi (dalaman) antara satu sama lain. Kita juga mengetahui hakikat bahawa semua benda hidup ini bertasbih kepada Allah sepanjang waktu, maka gelombang tasbih ini juga terpancar ke seluruh alam maya ini.

Pernah seorang guru menegur muridnya yang rajin bersolat tapi melakukan zina lalu dinafikan oleh murid tersebut. Guru itu berkata; ‘YA, kamu melihat wanita dengan nafsu’. Maksudnya, apabila murid tersebut mempunyai niat yang negatif (nafsu) terhadap wanita yang dipandangnya, gelombang itu serta-merta wujud pada alam dan berupaya atau sedia untuk dipetik (dilakukan) oleh murid tersebut pada alam realiti kelak.

MAKA, hati-hati dan sedarlah apa yang minda kita getarkan atau keluarkan kerana apapun yang difikirkan akan serta-merta terpancar ke alam dan tidak terikat pada hukum masa.