"Apabila kamu bangun di pagi hari dan mendapati keperluan kehidupan mencukupi, dan kamu serta keluarga berada dalam keadaan sihat, janganlah bebankan diri dengan kerisauan."
Dalam kehidupan ini, terdapat masalah-masalah yang penting dan rumit, itu merupakan hal lain, tetapi kebanyakkan “masalah-masalah” di dalam pemikiran manusia bukanlah merupakan masalah – ia hanyalah di dalam pemikiran mereka sahaja. Masalah-masalah itu merupakan “jangkaan”, yakni masalah-masalah yang mungkin atau tidak mungkin berlaku. Ini merupakan malapetaka yang melanda manusia di abad sekarang: kebimbangan, atau penderitaan yang direka sendiri tentang kemungkinan berlakunya sesuatu masalah. Akibat daripada kebimbangan yang neurotik ini, manusia akan merasai penderitaan yang lama, walaupun akhirnya apa yang mereka risaukan tidak berlaku. Ini merupakan kedangkalan akal fikiran.
Kita memikul bebanan harian saban minggu, bulan, dan tahun. Kenapa perlu kita pikul bebanan itu sekiranya kita boleh hidup tanpanya; kita akan mendapati bahawa apa yang kita perlukan akan diperolehi apabila kita sampai ke penghujung jalan. Kita hanya wujud dan hidup di masa ini dan sekarang. Esok hanya merupakan khayalan, tidak ada kepastian bahawa kita akan hidup sampai esok. Dengan mengada-adakan bermacam-macam masalah untuk diri kita, kita hanya akan membuat diri menjadi sakit.
Manusia sering risau dan resah akan kehidupan nasibnya di dunia. Risau akan keperluan, makan minum, harta, anak isteri, pangkat dsb. Jika kita menumpukan masa yang begitu banyak kepada urusan dunia, mengejar impian dan cita-cita dunia, ingatlah kita tidak akan dapat menjadi “tuan” kepada dunia. Dalam usaha untuk mengejar dunia, banyak perkara yang kita abaikan dengan rakus.
Pertama, ketahuilah bahawa dunia ini sudah ada Tuannya, dan sekiranya kita menyembah Dia dengan rendah hati dan tenteram (tidak terburu-buru) di dalam solat, tindakan itu akan menjadi asbab penentu bagi kita mendapat rezeki – tidak perlu kita bertungkus lumus mengejarnya di kota atau di mana-mana saja. Jaga solat, insyaALlah rezeki murah.
Kedua, dalam usaha kita mengejar dunia dengan terburu-buru dan gelojoh, kita mungkin akan diserang dengan penyakit sakit jantung, stress, malah bermacam lagi penyakit akan menimpa!
Jangan hidup dengan mimpi-mimpi atau skema-skema yang besar. Skema-skema tersebut tidak dapat menghalang kita daripada masalah, tetapi di sebaliknya akan menyulitkan lagi kehidupan kita. Mudahkan masalah kita agar penyelesaiannya juga mudah. Jangan memperbesarkan masalah-masalah kita sehingga ianya lari daripada perspektif yang sebenar, tabiat begitu akan menghancurkan kita secara fizikal dan rohani. Hilangkan resah kerisauan kita dengan berusaha menurut kehendakNya, bukan kehendak kita. Bergerak dengan gerakNya, bukan dari nafsu semata.
“Jangan bebankan dirimu dengan kerisauan masa hadapan. Susunkan kehidupanmu dengan kehendak Allah; nescaya Allah akan memelihara masa depanmu selari dengan kehendakNYA."
Allah Yang Maha Besar tidak mahu hamba-hambaNya diseksa dengan kesusahan yang direka sendiri.
Wallahu'alam.