Perbezaan Ilmu Reiki, Tenaga Dalam dan Ilmu Kebatinan

Posted by Reiki Malaysia - Tradisi Hikmah Sufi on Friday, June 13, 2014


Ramai orang yang keliru akan Ilmu Reiki dengan Tenaga Dalam dan memberi berbagai-bagai tafsiran kepadanya. Lebih teruk daripada itu, ada yang menyatakan pengamal Reiki dan Tenaga Dalam menggunakan jin, iblis, syaitan roh atau makhluk-makhluk ghaib yang telah dicapkan sebagai syirik. Ada pula yang mengatakan ianya perbuatan sihir, magik ataupun silap mata. Sebabnya masyarakat bertanggapan begitu ialah kerana kurangnya pendedahan dan kefahaman masyarakat kita terutamanya di Malaysia ini akan istilah dan keujudannya Tenaga Dalam itu.

Laman website ini telah berusaha dan akan terus berusaha untuk menyedarkan masyarakat semuanya akan apa itu Reiki dan Tenaga Dalam. Saya berharap kepada anda dan semua murid saya yang pernah berguru dan belajar dengan saya supaya meneruskan perjuangan ini bagi kepentingan agama kita dan kefahaman kita dari di sogok oleh perkara-perkara yang bukan- bukan.

Reiki, Tenaga Dalam dan Ilmu Kebatinan adalah perkara yang berbeza. Seseorang yang mempunyai Reiki belum tentu memiliki Tenaga Dalam dan begitulah sebaliknya. Reiki dan Tenaga Dalam pula bukanlah suatu Ilmu Kebatinan. Orang yang mempunyai tenaga batin belum tentu mempunyai tenaga dalam atau Reiki. Cara latihannya juga berbeza sekali.

Dibawah berikut adalah penerangan ringkas untuk kita memahaminya:

Tenaga Reiki
  • Bersumberkan daripada tenaga alam semulajadi
  • Tenaga TIDAK dikumpul dan disimpan dalam tubuh seperti pengamal tenaga dalam
  • Tenaga dihubung dan dialirkan secara terus dari alam kepada diri sendiri dan orang lain
  • Untuk mendapatkan tenaga Reiki, tidak perlu latihan yang melelahkan, hanya santai dan pasrah
  • Tenaga tidak berkurang kerana alam semesta berfungsi sebagai generator yang membekalkan tenaga tanpa batas.


Tenaga Dalam
  • Tenaga Dalam ialah tenaga abstrak yang telah ada dan tersimpan dalam tubuh semenjak dilahirkan
  • Kebiasaannya bersifat pasif / tidak aktif / tidur dan termuncul disaat terdesak
  • Dapat diaktifkan melalui latihan olah nafas, gerakan jurus dan latihan konsentrasi / meditasi.
  • Kebiasaannya melalui teknik pernafasan perut atau pernafasan dada atau gabungan kedua-duanya.
  • Tenaga yang diolah, dikumpul dan disimpan di bawah pusat (Tan tien) atau dada (solar plexus)
  • Tenaga akan berkurang apabila digunakan dan dapat diisi semula dengan latihan.


Ilmu Kebatinan
  • Tenaga kebatinan diperolehi melalui amalan kerohanian seperti Zikir, puasa, “mutih” (berbuka dengan nasi dan air putih) , ayat-ayat, jampi, mantera dan doa. Banyak diamalkan oleh wali-wali dan ahli agama.
  • Dapat dipertingkatkan lagi dengan kehadiran khodam pendamping yang kebiasaannya menjaga ayat, doa, hizib yang diamalkan.
  • Oleh itu, tidak hairanlah orang yang memiliki khodam ini kebiasaannya dapat melakukan perkara-perkara aneh seperti kebal senjata dan api, dapat mengetahui sesuatu perkara (scanning), penyembuhan dan lain-lain kerana dengan bantuan si khodam tersebut.


Saya berharap masyarakat tidak lagi membuat andaian-andaian yang salah tentang Reiki dan Tenaga Dalam khususnya kerana anda tidak akan dapat kebenaran dengan hanya membaca atau mendengar cerita dari orang yang BUKAN ahlinya.

“Mana boleh anda bertanya tentang enjin kereta pada Tukang Jahit, seharusnya bertanyalah pada Mekanik kereta sendiri”

Perumpamaan yang boleh saya berikan contoh disini ialah “Buah Durian”:
  • Ada orang kata Durian itu sedap, dan ada orang yang kata Durian itu tidak sedap dan busuk!!
  • TIDAK BOLEH hanya dengan membaca atau mendengar cerita. Kerana ada orang memang suka Durian dan ada orang yang TIDAK SUKA dan anti Durian.
  • Hakikatnya, hanya orang yang telah makan Durian saja yang tahu. Oleh itu, anda MESTI makan durian untuk mengetahui kebenarannya.


Begitulah halnya dengan Reiki, Tenaga Dalam dan lain-lain, anda harus belajar dan mengamalkannya terlebih dahulu. Wallahua'lam.




Sumber: reikimalaysia